Sejarah Bendera Malaysia
Sejarah Bendera Malaysia bermula apabila Majlis Raja-Raja
Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan satu Jawatankuasa pada tahun 1949 untuk
menimbang serta membuat perakuan berkenaan dengan Bendera Persekutuan Tanah
Melayu.
Satu pertandingan merekacipta bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan oleh Majlis Perundangan
Persekutuan dalam tahun 1949. 373 orang telah mengambil bahagian didalam
pertandingan ini dan tiga rekabentuk bendera telah dipilih ke peringkat akhir:
- Reka bentuk pertama ialah lambang keris
bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima.
- Reka bentuk kedua hampir serupa dengan
rekabentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua
bulatan mengelilingi Keris Bersilang tersebut.
- Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih
dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.
Sebelum memilih rekabentuk bendera yang menjadi juara, Majlis
Perundangan Persekutuan telah menjemput orang ramai untuk memberi pendapat
masing-masing tentang rekebentuk yang disukai oleh mereka. Pendapat umum ini
telah disiarkan oleh The Malay Mail.
Pada 28 November 1949,
keputusan telah dibuat berdasarkan suara majoriti orang ramai yang memilih reka
bentuk ketiga yang dicipta oleh seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu Encik
Mohamad bin Hamzah.
Pada 22 dan 23 Februari 1950, Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah
bersetuju dengan Reka bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan.
Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan
usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:
"That in the opinion of this Council, the
Flag of the Federation of Malaya should be as follows:-
Eleven horizontal stripes alternately red and
white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a
cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of
the flag to be six feet by three feet."
Rekabentuk tersebut diubah dengan menukar warna putih pada bulan
dan bintang kepada warna kuning untuk melambangkan warna diraja bagi raja-raja
Melayu dan juga menambah bucu bintang kepada 11 untuk mengambil kira jumlah
negeri yang ada dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George
VI pada 19 Mei 1950.
Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam majlis menaikkan bendera tersebut yang
dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan
Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu dan
Pegawai-Pegawai King George VI.
Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah
Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman
itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira
penambahan negeri-negeri tersebut.
Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang
Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang
pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia
hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan
pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan
14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.
Walaupun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965,
namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini
jalur-jalur dan bintang berpenjuru 14 melambangkan keanggotaan yang sama dalam
Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.)
Maksud Rekabentuk Bendera Malaysia
Bendera Malaysia;
dikenali sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih
(melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan
berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam
persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan persekutuan - Johor, Kedah, Kelantan,
Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak,
Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke
bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat
Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam -
agama rasmi bagi Persekutuan (Malaysia seperti yang telah tertakluk dibawah
Perlembagaan Negara Malaysia).
Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan
Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja
bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.
Bagaimana Bendera Malaysia mendapat nama Jalur Gemilang
Pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang
ke-40, Perdana Menteri, Tun Mahathir bin Mohamad telah mengistiyarkan nama
bendera Malaysia sebagai Jalur Gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sebelum itu, pada tahun 1995, Datuk Hashim Mat Dris mencadangkan
bendera Malaysia diberikan nama rasmi seperti bendera kebangsaan Indonesia
digelar Sang Saka Merah Putih, United Kingdom – Union Jack, Amerika Syarikat –
Star Spangled Banner dan bendera Perancis digelar Tricolor.
Beliau memberi cadangan bendera Malaysia dinamakan sebagai
"Si Tuah". Sempena nama Hang Tuah, pahlawan Melayu yang berani, gagah
perkasa dan setia kepada raja.
Cadangan beliau itu kemudiannya telah diusulkan kepada Perdana
Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pada 11 Julai 1995 Tun Dr. Mahathir telah bersetuju supaya
diadakan satu peraduan bagi memilih nama yang sesuai untuk bendera Malaysia.
Oleh itu, satu Jawatankuasa Induk Peraduan Mencipta Nama Bendera Malaysia
ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara,
Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan dianggotai oleh wakil daripada beberapa
kementerian dan agensi yang berkenaan.
Dalam mesyuarat pada 1 April 1996, jawatankuasa induk peraduan
mencipta nama bendera Malaysia telah bersetuju bahawa pemilihan cadangan nama
bendera Malaysia tidak perlu dibuat melalui peraduan tetapi memadai dipilih
daripada senarai nama yang dikemukakan oleh ahli-ahli jawatankuasa yang terdiri
daripada wakil-wakil kementerian dan agensi yang berkaitan. Tun Dr. Mahathir Mohamad
bersetuju dengan cadangan tersebut. Nama Jawatankuasa itu kemudiannya ditukar
menjadi, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia.
Jawatankuasa itu telah menimbang 75 cadangan nama berserta
huraiannya. Setelah penelitian dibuat, tiga cadangan nama dipilih iaitu ‘Setia
Perkasa’, ‘Seri Setia Perkasa’ dan ‘Seri Setia Negara’. Cadangan nama-nama
tersebut dipilih kerana ia didapati sesuai sebagai lambang sejarah dan
perjuangan negara serta mampu memupuk semangat jitu di kalangan rakyat untuk
terus maju membina sebuah negara yang aman makmur.
Pada 11 September 1996, usul dikemukakan kepada jemaah menteri
mengenai tiga nama cadangan yang dipilih. Namun, kesemua nama-nama tersebut
gagal memikat hati ahli-ahli mesyuarat Kabinet yang berpandangan bahawa ia
tidak benar-benar melambangkan sifat dan semangat yang diwakili oleh bendera
Malaysia itu sendiri.
Jemaah menteri kemudiannya meminta supaya cadangan-cadangan baru
dikemukakan. Berikutan keputusan itu, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera
Malaysia bersidang semula untuk mencari cadangan nama-nama baru untuk bendera
Malaysia.
Dalam mesyuarat pada 2 Jun 1997 yang dipengerusikan oleh Tan Sri
Abdul Halim Ali, Ketua Setiausaha Negara pada waktu itu sebanyak 28 cadangan
nama dipertimbangkan. Setelah membuat penelitian, mesyuarat bersetuju memilih
tiga nama mengikut keutamaan seperti berikut: ‘Jalur Gemilang’, ‘Jalur Nusa
Gemilang’ dan ‘Jalur Sinar Gemilang’.
Apabila ketiga-tiga cadangan nama tersebut dibentangkan pada 9
Julai 1997, jemaah menteri telah bersetuju supaya bendera Malaysia diberi nama
‘Jalur Gemilang’.
Nama Jalur Gemilang di ilhamkan oleh Tuan Haji Md. Rebuan @Md.
Redzuan Bin Tumin Pegawai Dari Jabatan Muzium Antikuiti.
Maksud Nama Jalur Gemilang
JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur
merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan
satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti
oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan
bangsa dan negara.
GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang.
Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa
jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat
Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam
atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk
menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang
terang lagi jelas.